!.0 Pengenalan
Pembukaan Singapura oleh Raffles pada tahun 1819 telah menonjolkan Singapura sebagai sebuah pusat perdagangan bebas yang terkemuka di dunia. Walaupun sebelum ini, Singapura hanya berfungsi sebagai persinggahan para pedagang sebelum meneruskan pelayaran mereka. Singapura menjalankan kegiatan ekonomi yang meliputi kegiatan perdagangan, perkapalan kewangan dan kegiatan pertanian. Ekonomi Singapura lebih berfokuskan kepada kegiatan perdagangan. Perdagangan menjadi penggerak kepada kemajuan dan perkembangan singapura pada abad ke-19. Pengambilan Singapura daripada Belanda merupakan satu tindakan yang tepat untuk urus niaga perdagangan dengan China. Pelabuhan Singapura menjadi pelabuhan terpenting British di bahagian Kepulauan Melayu bagi menyekat perluasan kuasa Belanda di Timur. Kegiatan perkapalan, kewangan dan percukaian serta pertanian menjadi ekonomi sampingan Singapura. Kegiatan ekonomi ini secara tidak langsung mengelakkan pergantungan sepenuhnya terhadap perdagangan.
2.0 Perdagangan Singapura
Singapura mencapai zaman kegemilangan sebagai sebuah pelabuhan entreport dalam abad pertama selepas pelabuhan ini diwujudkan. Singapura telah menguasai pasaran yang penting dan mengendalikan kegiatan perdagangan yang luas. Singapura menjadi pusat pengumpul dan pembahagi di seluruh kepulauan Asia Tenggara termasuk China dan Barat. Rafless dengan dasar perdagangan bebasnya menggalakkan perdagangan yang berkesan dengan menggunakan sumber-sumber alam dan menghapuskan sekatan-sekatan yang tidak sesuai. Setiap tahun beratus-ratus pedagang membanjiri pelabuhan Singapura yang datang dari setiap tempat dari Kepulauan Sumatera hingga ke New Guine.
3.0 Peranan Singapura Dalam Perdagangan
Pada sepuluh tahun pertama, Singapura muncul sebagai perdagangan bebas tunggal di kepulauan Melayu. British menjadikan Singapura sebagai pusat perdagangan bebas untuk mencegah dan menghadkan monopoli Belanda yang menjadi pesaing kepada Britain di Kepulauan Melayu. Nilai eksport dan import Singapura pada tahun 1824 hingga 1825 ialah £10 371 300 iaitu lebih dua kali ganda perdagangan Penang manakala menjelang tahun 1860, jumlah dagangan meningkat kepada £13, 519 317. Walaupun terdapatnya perdagangan bebas Belanda selepas itu, namun ianya tidak dapat menandingi pelabuhan Singapura.
Pusat perdagangan yang bebas daripada semua duti dan cukai pelabuhan menjadi daya penggerak yang amat diperlukan bagi menarik minat para pedagang dari pelusuk dunia. Sebagaimana yang dijangkakan oleh Raffles Singapura telah dikunjungi oleh beratus-ratus pedagang, sehingga dalam masa lebih kurang setahun sahaja penduduknya telah meningkat sehingga 5000 orang dan jumlah ini telah berganda pada bulan Ogos,1820. Dalam masa yang sama perdagangannya telah berkembang dengan pesat sekali. Pada bulan April 1820, perdagangan barang-barang pertukangan sahaja telah meningkat sebanyak $4 juta dan terus berkembang dengan pesatnya.
Singapura juga membangun dan kekal sebagai pusat pelabuhan entreport yang terkemuka di Kepulauan Melayu. Pelabuhan entreport, Singapura mengendalikan sejumlah barangan yang besar melalui pelabuhan itu. Selain itu juga, Singapura berfungsi sebagai pusat membahagi barang-barang dari perjalanan antarabangsa ke semua kawasan. Seterusnya, mengumpul hasil-hasil keluaran serantau yang diproses dan dieksport semula. Selepas lima puluh tahun yang pertama, sejumlah 90% daripada barangan keluaran Eropah dan India dipunggah turun di pelabuhan Singapura. Kemudiannya barangan tersebut akan dihantar semula ke tempat-tempat lain di sebelah Timur. Bentuk perdagangan demikian berterusan sehingga tahun 1870-an.
4.0 Bentuk Perdagangan Singapura
Perdagangan antara Singapura dan China menjadi asas kepada kemakmuran dan kemakmuran Singapura. Perhubungan perdagangan ini, adalah berdasarkan kepada kedudukannya sebagai ibu pejabat dan persinggahan bagi semua kegiatan perdagangan British dengan Canton. Barangan utama dalam perdagangan ini ialah hasil-hasil keluaran selat dan candu dan perniagaan candu telah mengatasi semua dagangan lain. Walau bagaimanapun, merosot selepas tahun 1830-an ekoran daripada pengenalan kapal-kapal pengangkut candu yang lebih pantas.
Perdagangan dengan China menjadi semakin meningkat apabila Singapura menjadi cawangan perdagangannya. Pusat laluan candu telah berpindah ke Singapura namun kuantitinya lebih kecil berbanding sutera, dan barangan lain. Semua barangan diimport dan ditukarkan dengan barangan Negeri Selat. Barangan Negeri Selat yang diperdagangkan ialah produk yang terdapat di Timur India dan Kepulauan Melayu seperti lada hitam, kapas, gambir, timah, kapur barus, lilin, lebah, rotan, sarang burung dan kulit kura-kura. Barang-barang ini tidak dihantar secara terus ke Britain dan India tetapi dikumpulkan semula di Singapura.
Pada awalnya jumlah perdagangan Singapura dengan benua Eropah dan Amerika adalah kecil, namun tidak lama kemudian jumlah perdagangannya telah meningkat. Import utamanya, ialah Wine, bijih timah, aloi dan barangan rincik. Singapura juga mengadakan perdagangan dengan Siam. Eksport yang paling penting ialah lada hitam dan gula, yang mempunyai pasaran Barat di Singapura, kayu jati dan beras , manakala garam diedarkan ke seluruh kepulauan ini. Pertukaran barangan dari tongkang-tongkang Thai ialah barangan rincik buatan India dan Barat, pakaian, kaca dan candu.
Perdagangan Singapura dengan negeri-negeri Indo-China tidak pernah mencapai taraf atau jumlah dagangan yang sama pentingnya dengan perdagangan dengan siam. Hal ini disebabkan oleh ancaman daripada lanun yang menghalang kegiatan perdagangan secara besar-besaran sehingga tahun 1850-an. Setiap tahun orang Bugis datang ke Singapura untuk membeli barangan British seperti candu dan besi dengan menukarkan barangan Selat yang telah mereka kumpulkan. Jumlah orang Bugis yang datang berdaganag setiap tahun adalah kurang daripada 100 orang, tetepi meningkat kepada 200 orang pada tahun 1840. Namun selepas pengenalan kapal wap, bilangan mereka semakiberkurangan. Pembukaan pelabuahan Makasar pada tahun 1846 sebagai perdagangan bebas juga menyebabkan bilangan orang Bugis ke Singapura menjadi sedikit.
5.0 Faktor Perkembangan Perdagangan Singapura
Perdagangan Singapura mula meningkat apabila pembukaan terusan Suez pada tahun 1869 dan penggunaan kapal wap. Ia telah menggalakkan perdagangan di Siam dan Kepulauan Melayu. Keadaan ini seterusnya menggalakkan kemasukan imegran dari India dan China. Terusan Suez membawa peningkatan yang besar dalam jumlah perdagangan melalui rantau ini. Ia dibuktikkan dengan penubuhan syarikat-syarikat Eropah yang menjalankan kegiatan perniagaan di Singapura terutamanya Jerman. Di samping itu, pembukaan terusan Suez turut mempercepatkan penggunaan kapal wap. Ini membolehkan jarak perdagangan dapat dipendekkan dan barang-barang yang tidak tahan lama, sempat sampai pada waktunya.
Rahsiah kemakmuran perdagangan Singapura juga disebabkan oleh kedudukannyanya yang berada di pintu masuk Selat Melaka. Kedudukan semulajadi ini membolehkannya menjadi pusat perdagangan untuk Negeri-negeri Melayu, Sumatera dan beberapa pulau di bahagian Timur. Kedudukan Singapura di Selat sesuai untuk perdagangan China di barat dan Australia di Selatan dan menyebabkannya muncul sebagai jalan perkapalan yang terpenting di dunia. Kedudukannya yang strategik ini menyebabkan pedagang beralih dari pelabuhan Belanda ke pelabuhan Singapura. Pelabuhan Singapura turut terlindung daripada tiupan angin monsun Timur Laut danBarat daya dan para pedagang akan meninggalkan pelabuhan Singapura apabila tiupan Monsun reda.
Menjelang tahun 1870 Singapura menjadi Pejabat Pos Besar bagi seluruh rantau ini. Penggunaan telegraf memperhebatkan lagi kemudahan-kemudahan perdagangan dan jumlah kegiatan Singapura. Kemudahan lain yang disediakan ialah kemudahan untuk limbungan dan dermaga, pemunggahan dan pembaikan kapal serta gedung penyimpanan barang dagangan. Singapura juga dijadikan kubu dan bentang untuk melindungi Singapura daripada sebarang ancaman musuh.
6.0 Sistem Percukaian dan Kewangan
Perdagangan Singapura bebas daripada sebarang duti dan peraturan pelabuhan. Raffles menyedari bahawa bandar pelabuhan tanpa cukai dan peraturan pelabuhan akan berkembang dengan pesatnya. Kenyataan Raffles ini terbukti apabila ramai saudagar dan pedagang datang berdagang ke Singapura dari pelbagai tempat. 2/3 daripada hasil dagangannya diperolehi daripada cukai, sekitar £2600 cukai setem, dan cukai hutan serta tanah. Perdagangan Singapura dibuka kepada semua kapal tanpa dikenakan sebarang cukai secara adil kepada semua bangsa. Pada suku pertama abad ke-19, cukai perjalanan diambil oleh lanun sehinggalah datangnya kapal wap menumpaskan lanun.
Dalam rangkaian antarabangsa, bank kewangan dan insurans memainkan peranan yang penting. Singapura telah menjadi pusat kewangan yang utama di Asia Tenggara dengan menjadi badan kewangan yang pertama diwujudkan di singapura. Oriental Bank corporation telah ditubuhkan pada 1846, dan fungsinya telah digantikan oleh Charter Bank pada 1859. Negara Belanda dan Jerman turut terlibat dalam kewangan di Singapura melalui perdagangan antarabangsa di Timur Jauh. Di Antaranya ialah Sime Darby, Henry Waugh dan Guthrie yang menjadi orang tengah dalam urusan jual beli di pelabuhan Singapura.
7.0 Perkapalan
Beberapa dekad yang pertama, syarikat-syarikat perkapalan yang terdapat di Singapura bukan merupakan suatu perkara penting. Ini disebabkan sebahagian besar perdagangan antarabangsa dikendalikan oleh saudagar-saudagar British yang berpangkalan di India ataupun oleh Syarikat Hindia Timur itu sendiri. Kegiatan mengangkut barangan dagangan di Kepulauan itu adalah dijalankan oleh saudagar-saudagar persendirian, sama ada berketurunan Cina ataupun Melayu. Walau bagaimanapun, keadaan ini berubah pada tahun 1850-an berikutan dengan pengenalan kapal-kapal wap yang lebih besar apabila terusan Suez dibuka pada 1869. Persaingan yang hebat di kalangan syarikat-syarikat perkapalan penjajah akhirnya telah membuka jalinan kerjasama antara mereka.
8.0 Kegiatan Pertanian
Selain menjadi pusat perdagangan yang terkemuka di dunia pada abad ke-19, sumber ekonomi Singapura juga bergantung kepada kegiatan pertanian.. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian di Singapura diselebungi oleh kepesetan perdagangan entreport. Sesungguhnya kegiatan pertanian yang diusahakan sebelum tahun 1967 sangat mengecewakan sebelum pengenalan tanaman getah di pulau tersebut. Kegiatan pertanian banyak dipelopori oleh orang Eropah, dan orang Cina. Mereka terlibat secara serius dalam ekonomi pertanian berbanding dengan orang Melayu. Mereka membuka ladang rempah, gambir, lada hitam, ubi kayu, kopi, kapas, teh, tembakau dan rempah namun percubaan ini kurang memberangsangkan dan menguntungkan.
8.1 Tanaman lada hitam dan Gambir
Lada hitam merupakan tanaman bermusim yang mengambil masa untuk masak yang mana hasil keuntungannya boleh diperolehi setiap tahun. Lada hitam dapat diusahakan secara serentak dengan tanaman gambir yang ditanam oleh orang Melayu dan Cina, apabila British mula bertapak di Singapura. Tanaman Lada hitam dan gambir berkembang sebagai perusahaan pekebun kecil di kalangan orang-orang Cina dan berkembang pesat hingga ke kawasan seberang Selat Johor.
Di Singapura penanaman lada hitam dan gambir menghasilkan pulangan yang besar kepada Singapura untuk tempoh beberapa tahun. Jumlah keseluruhan output tahunan tanaman ini sehingga tahun 1812 ialah sekitar 400 000 pound. Pada tahun 1850, penanaman lada hitam dan gambir mula menampakkan kemerosotan dengan hanya memperoleh hasil pengeluaran sebanyak 266 600 pound. Kemerosotan ini disebabkan oleh hakisan tanah, harga pasaran yang semakin menurun, dan undang-undang tanah yang baru di Tanah Jajahan dan kekacauan kongsi gelap. Kejahilan pemilik dan pengurus ladang dalam teknik penanaman gambir dengan kaedah yang betul turut menyumbang kepada kemerosotan tanaman ini.
8.2 Tanaman Rempah
Sejak penubuhan Negeri-Negeri Selat, Singapura dijangka menjadi sebuah negeri pengeluar rempah yang baru iaitu mengeluarkan lada hitam, bunga cengkih dan buah pala. Penanaman rempah telah diperkenalkan oleh Raffles pada tahun 1819 dan dalam tempoh 35 tahun ianya telah menampakkan kejayaan seperti yang diharapkan oleh Singapura. Oleh kerana terdapatnya keyakinan mengenai masa depan tanaman ini, orang Eropah dan penduduk Asia menceburkan diri dalam penanaman rempah. Ladang-ladang rempah dibahagikan kepada estet-estet yang luas iaitu yang dimiliki oleh orang Eropah yang dikerjakan oleh kontrak-kontrak Cina. Penduduk –penduduk setinggan yang mempunyai kebun kecil diberikan wang pendahuluan.
Penanaman buah pala di Singapura menjadi pesat ekoran daripada kesan langsung dari kejayaan penanaman buah pala di Pulau Pinang. Keadaan ini menimbulkan ‘keghairahan buah pala’ di kalangan orang Cina dan orang Eropah. Namun usaha ini menghasilkan pengeluaran yang mengecewakan. Penubuhan argicultural society (Persatuan Pertanian) pada tahun 1836 telah meningkatkan jumlah kawasan penanaman buah pala sekitar tahun 1840. Perlaksanaan syarat-syarat yang mudah bagi mendapatkan tanah pada tahun 1850 menyebabkan penanaman buah pala dan cengkih mengalami kemerosotan.
Faktor utama yang membawa kepada kemerosotan buah pala dan cengkih adalah disebabkan oleh sejenis kumbang kecil yang menyerang pokok-pokok sekitar tahun 1840-an. Kurangnya pengetahuan tentang cara-cara penanaman yang betul dan kegagalan mengetahui sebab serangan menjadikannya semakin sukar untuk dibendung. Selain daripada itu, timbul juga masalah mengenai tanah yang tidak memberi jaminan kepada hak milik dan ini telah menghalang kedatangan pelabur. Tambahan pula para peladang sukar untuk mendapatkan modal bagi meneruskan penanaman mereka.
8.3 Tanaman Tebu
Tanaman jualan yang sangat menguntungkan di Negeri-negeri selat ialah tebu iaitu sebelum tanaman getah diperkenalkan. Perintis kepada penanaman tebu ialah orang Cina. Di Singapura tebu tidak berkembang maju sebagai mana yang berlaku di bahagian Utara. Usaha-usaha memulakan penanaman secara besar-besaran di Singapura telah dijalankan secara serentak seperti di Pulau Pinang. Perkembangan pesat dalam penanaman tebu telah menggalakkan orang Barat menceburkan diri dalam penanaman tebu. Ekoran daripada itu, mereka telah membuka estet pertama untuk tanaman tebu pada tahun 1840. Dalam masa dua puluh tahun kemudiannya terdapat perkembangan yang amat mengalakkan dalam penanaman tebu. Perkembangan ini disebabkan oleh kombinasi iklim yang baik serta tanah yag sesuai, tambahan pula terdapat kemudahan perhubungan serta tenaga buruh yang sentiasa mencukupi.
8.4 Tanaman Lain
Penyusunan perusahaan ubi kayu di Singapura hampir menyerupai pola-pola lain perusahaan pertanian yang dijalankan oleh orang Cina di Negeri-negeri Selat lain. Tenaga buruh disediakan oleh kontraktor yang telah menerima wang pendahuluan daripada saudagar-saudagar Cina yang kaya. Penanaman ubi kayu di singapura tidak pernah mencapai kadar seperti yang dikeluarkan oleh Melaka. Beberapa percubaan telah dilakukan untuk menanam kopi di Singapura pada tahun 1850, namun perkembangannya amat lambat..
9.0 Kesimpulan
Singapura pada abad ke-19 merupakan sebuah negara yang berkembang pesat dalam kegiatan ekonomi terutamnya kegiatan perdagangan. Kemunculan Singapura ini telah membuka mata dunia mengenai penglibatan singapura terhadap kegiatan perdagangan. Maka tidak hairanlah jika dikatakan bahawa Singapura merupakan pusat perdagangan yang terkemuka di dunia. Perkembangan ekonomi lain seperti perkapalan dan kewangan adalah kesan daripada perkembangan dan kemajuan perdagangan Singapura. Kegiatan pertanian pula kurang menghasilkan pulangan yang memberangsangkan kepada Singapura pada abad ke-19. Walau bagaimanapun, kegiatan pertanian ini mula menampakkan perkembangan selepas pengenalan tanaman getah. Walaupun kegiatan pertanian ini kurang menggalakkan ia sedikit sebanyak memberikan kebaikan dan kemajuan kepada ekonomi Singapura. Kegiatan ekonomi yang dijalankan di Singapura memberikan pelbagai kesan terhadap perkembangan Singapura. Antaranya ialah pertambahan populasi penduduk akibat imegran dari china dan India dalam mengusahakan kegiatan pertanian.
Bibliografi
Baker Jim, 1999, Crossroads:A Popular History Malaysia Singapore, Kuala Lumpur:
Times Books International.
Barbara Watson Andaya & Leornard Y. Andaya,1983, Sejarah Malaysia, Petaling
Jaya:Macmillan Publisher Sdn. Bhd.
Goldsman C.S,1998, The Empire And The Century, London:Roulfledge Press.
D.J.M Tate, 1980, Sejarah Pembentukan Asia Tenggara Jilid ke-8 : Perubahan Ekonomi
Dan Sosial, Kuala Lumpur:Fajar Bakti.
Frank Swettenham, 1955, British Malaya An account Of The Progress Of British
Influence In Malaya, London:Allen George & Unwin.
Khoo Khey Kim,1992, Malaysia Warisan Dan Perkembangan: Negeri Melayu Dan
Perkembangan Pengaruh British 1786-1873, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
Mill L.A, 1997, British Malaya, 1824-1867, Kuala Lumpur:Oxford University Press,
N.J Ryan, 1976, A History Of Malaysia And Singapura, London:Oxford University
Press.
Rupert Emerson, 1974, Malaysia: Satu Pengajian Dalam Pemerintahan Secara
Langsung dan Tidak Langsung, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Winstedt R.O, 1988, A History Of Malaya, Kuala Lumpur:Marican & Sons Sdn. Bhd ,1975, Malaysia, Singapura, Dan Brunei, 1400-1965, Kuala
Lumpur:Longman.
Saturday, 21 March 2009
Sistem Ekonomi Singapura abad ke-19
Posted by cikgu azhar zack at 22:48
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment