Sunday, 22 March 2009

Kepentingan sejarah

PENDAHULUAN
Manusia memang mementingkan sejarah dan tidak berupaya untuk melupakannya. Sebelum isu ini dikupas dengan lebih mendalam, maka perlulah kita mengetahui pengertian sejarah itu sendiri. Pemahaman yang mendalam tentang sejarah itu sendiri akan memperlihat kepentingannya yang tidak dapat tidak bagi masyarakat sekarang untuk menerimanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, ‘sejarah’ membawa maksud asal-usul (keturunan), salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau, kisah, riwayat, tambo, kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa-peristiwa yang telah lalu, tawarikh. Orang Barat yang terdiri daripada Herodotus telah menyamakan perkataan sejarah dengan perkataan Inggeris iaitu Histories. Perkataan ini berasal dari perkataan Historia yang bererti penyelidikan atau penyiasatan. Di sini menunjukkan bahawa pengkajian sejarah bergantung sepenuhnya kepada penyelidikan terhadap perkara-perkara yang benar-benar pernah terjadi.
Manakala secara umumnya sejarah itu dapat didefinisikan sebagai rekonstruksi masa lalu. Jangan dibayangkan bahawa membangun kembali masa lalu itu untuk kepentingan masa lalu itu sendiri kerana itu merupakan antikuarianisme dan bukan sejarah. Juga jangan dibayangkan masa lalu yang jauh. Hal ini kerana menurut salah seorang sejarawan Amerika, sejarah itu ibarat orang menaiki kereta menghadap ke belakang.
KEPENTINGAN SEJARAH KEPADA MANUSIA
Sejarah sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut mereka iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak mempelajarinya bukanlah satu kesalahan. Pandangan ini sememangnya tidak benar bagi golongan intelek sejarah kerana menurut mereka sejarah itu merupakan peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan; kita dapat merasakan bahawa sesuatu peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Sejarah dikatakan penting bagi meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat terutamanya masyarakat intelek yang beria-ia untuk mendalami kepelbagaian disiplin ilmu pengetahuan seterusnya merakamkannya sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun visual. Rakaman atau pendokumentasian ini akan disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat. Kita sebagai manusia seharusnya mengetahui akan diri kita dan mengetahui keupayaan diri kita sendiri. Hal ini dapat kita ketahui melalui sejarah. Menurut pendefinisian sejarah oleh Carr, menunjukkan bahawa sejarah berfungsi untuk menyimpan dan meneruskan pengalaman-pengalaman secara kolektif dari satu generasi ke satu generasi berikutnya dan dengan itu berlakunya proses pembudayaan, sosialisasi dan pendidikan secara terus-menerus. Sejarah penting dalam meningkatkan pengetahuan ini dapat kita sorotkan dalam Tuhfat Al-Nafis yang menerangkan perihal kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tulisan ini menceritakan asal-usul, peperangan, pemerintahan dan segala macam mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Jadi melalui pembacaan dan pengkajian yang lebih mendalam tentang tulisan ini iaitu Tuhfat Al-Nafis, pembaca dan pengkaji akan sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan mengenai kesultanan Melayu Johor-Riau dan Bugis. Tuhfat Al-Nafis hanya merupakan salah satu contoh dalam memperkenalkan kepentingan sejarah sebagai pemangkin dalam meningkatkan ilmu pengetahuan.
Sejarah turut berperanan dalam memberi pendidikan kepada masyarakat terutamanya pendidikan moral. Ini dapat dibuktikan melalui peristiwa-peristiwa dalam Sejarah Melayu yang memberi pendidikan moral kepada kita. Misalnya, salah satu faktor keruntuhan kerajaan Singapura adalah akibat kezaliman rajanya iaitu Raja Iskandar Syah yang telah mengaibkan rakyatnya akibat sikapnya yang membuta-tuli dengan menjatuhkan hukuman yang mengaibkan terhadap gundik kesayangannya iaitu puteri Sang Rajuna Tapa yang difitnah . Hal ini telah menyebabkan Sang Rajuna Tapa belot dan berkrompomi dengan Majapahit seterusnya membolehkan Majapahit menawan Singapura. Di samping memberi pendidikan moral kepada masyarakat, sejarah juga memainkan peranan yang penting dalam pembinaan intelektual. Pembinaan intelektual bermaksud pembinaan dari segi pemikiran sesebuah masyarakat terutamanya yang mengkaji peristiwa sejarah. Pembinaan moral dan intelektual di kalangan masyarakat amat penting kerana tanpa kedua-dua aspek ini maka masyarakat yang lahir merupakan masyarakat yang kurang matang dalam segala aspek kehidupan dan tidak mampu serta tidak bersedia untuk menghadapi dunia mendatang.
Sejarah juga dikatakan berkepentingan untuk mematangkan minda dan diri manusia. Hal ini kerana, melalui pengkajian sejarah maka kita akan dapat memperoleh ilmu pengetahuan dan pelbagai maklumat. Dapatan kajian mengenai sejarah terutamanya peristiwa-peristiwa sejarah yang menjadi sumber ilmu pengetahuan dan maklumat akan diolah, diproses dan dicerna oleh minda dan ini akan mewujudkan paradigma dalam pemikiran. Melalui kematangan minda, maka manusia akan dapat meningkatkan keyakinan diri setelah melihat keterlibatan dan peranan serta sumbangan tokoh-tokoh sejarah terutamanya mereka yang terlibat dalam proses perkembangan tamadun sama ada tamadun dunia ataupun tamadun setempat. Kita dapat lihat melalui sejarah kemerdekaan negara kita Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah mempelopori langkah kemerdekaan negara kita melalui rundingan bukannya melalui pertumpahan darah. Peristiwa ini jelas menunjukkan sumbangan tokoh-tokoh dalam memperolehi kemerdekaan. Sudah tentu sumbangan tokoh-tokoh ini menjadi penting dalam sejarah hari ini kerana melalui sumbangan mereka akan memberi keyakinan diri kepada masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka pada hari ini dan masa depan.
Salah satu sebab yang memuatkan sejarah itu tidak dapat untuk dilupakan dan senantiasa penting sama ada untuk hari ini mahupun masa depan adalah disebabkan sejarah itu merupakan warisan untuk generasi akan datang. Sememangnya setiap perkara baik yang kita lakukan sudah pasti ita mahu perkara itu diwarisi dan diperturunkan kepada generasi kita akan datang. Hal ini kerana setiap peristiwa itu mempunyai kebaikan dan keburukannya, maka generasi baharu perlulah mentelaahnya dan mengaplikasikan dalam kehidupan yang mendatang. Perihal yang baik dijadikan tauladan, manakala perihal yang buruk dijadikan sempadan. Kita dapat perhatikan melalui pengamalan adat Melayu yang menerima pengaruh India dan sesetengahnya masih diamalkan hingga ke hari ini. Pertalian adat Melayu dengan India dapat dilihat dalam adat istiadat pertabalan iaitu Sultan duduk di atas takhta tidak bergerak-gerak semasa upacara dijalankan. Ini adalah satu ciri sifat devaraja. Adat ini merupakan salah satu daripada warisan untuk generasi akan datang. Manakala menurut Raja Ali Haji:
Keluh-kesah duduk berpindah
Memikirkan perkataan barang yang indah.
Hal ini saya permaklumkan
Kepada Tuan Penghulu saya sembahkan
Sampailah hajat yang dicitakan
Mudah-mudahan dapatlah dipergunakan.”
Sejarah amat sinonim dengan pengajaran. Hal ini kerana sejarah merupakan himpunan kisah-kisah yang telah lalu. Jadi terdapat kepelbagaian peristiwa dan fenomena telah berlaku dan ini memungkinkan generasi baru untuk mengambil iktibar dan pengajaran. Walau bagaimanapun, sejarah itu sememangnya perlu dijadikan sumber kesedaran kepada masyarakat dalam memupuk semangat bagi memperbaiki segala kelemahan, menilai kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat tradisi, memulihkan semula kekuatan moral dan mental bagi kemajuan individu, masyarakat, dan negara. Ranke mengakui bahawa matlamat utama ahli sejarah ialah untuk menghasilkan sejarah dunia, yang mana peristiwa-peristiwa setempat harus dicantumkan dalam satu rangkaian yang melibatkan seluruh dunia. Namun, percantuman ini tidak harus mengabaikan penelitian peranan individu, generasi, institusi, negara dan bangsa yang wujud secara berasingan tetapi berinteraksi antara satu sama lain untuk mencetuskan kejadian-kejadian yang bersifat sejagat itu. Pada amnya, setiap anggota masyarakat, yang psikologinya tidak dirosakkan oleh penekanan penjajahan ataupun sistem politik tradisi yang beku, akan mempunyai daya usaha serta kekuatan untuk berjuang demi menebus kembali kekurangan dan juga kegagalannya pada masa lepas. Dalam hal ini, masa lalu itu merupakan petunjuk bagi seseorang insan untuk mengendalikan masa yang sedang dihadapinya dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Seperti yang telah disebutkan, manusia juga akan menggunakan masa lalu sebagai petunjuk bagi merancang masa depan yang lebih bermakna. Skop ini dapat kita perhatikan peristiwa ketidaksetiaan sesetengah golongan pembesar Melaka pada awal abad ke-15 yang bersubahat dengan Portugis telah menjadi salah satu daripada faktor runtuhnya empayar Melaka. Peristiwa ini boleh dijadikan pengajaran yang berguna kepada masyarakat kini iaitu kita semua mestilah bersatu-padu dalam menjaga keutuhan dan kedaulatan negara kita daripada dicemari oleh sebarang unsur asing yang berbentuk penjajahan.
Sejarah juga berkepentingan dalam memupuk perasaan ke arah mewujudkan perpaduan sosial. Perpaduan sosial yang dicanang ini bukanlah bertujuan untuk mengubah atau menginterpretasi semula sejarah lalu, tetapi pemupukan terhadap perpaduan sosial ini lebih kepada penerapan bagi generasi sekarang dan seterusnya digunapakai sebagai rujukan oleh generasi akan datang. Perpaduan sosial ini dikatakan menjadi salah satu daripada sebab mengapa sejarah itu tidak dapat dilupakan kerana terdapat pelbagai peristiwa lalu yang berlaku berhubung kait dengan konsep perpaduan. Antara peristiwa sejarah yang tidak dapat dipertikaikan lagi akan hubung kaitnya dengan perpaduan sosial ialah peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini telah menyebabkan berlakunya banyak kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa serta keadaan fizikal dan harta benda awam banyak yang musnah. Perintah berkurung juga telah dilaksanakan untuk mengawal keselamatan dan kestabilan negara sehingga masyarakat tidak bebas mencari nafkah dan juga berinteraksi antara satu sama lain. Keadaan dan peristiwa pahit ini telah menuntut masyarakat agar mengekalkan perpaduan dengan mengikis sikap perkauman supaya keamanan dapat dicapai. Perpaduan sosial dapat juga dilihat melalui peristiwa apabila parti-parti politik dari 3 kaum terbesar di Malaysia iaitu UMNO (United Malay National Organation), MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC (Malayan Indian Congress) bersatu membentuk satu parti perikatan untuk mendapatkan sokongan dari kaum masing – masing bagi membentuk satu kerajaan yang kukuh. Kejayaan parti perikatan ini dapat dibuktikan melalui kejayaan membubarkan rancangan Malayan Union. Kejayaan ini dapat dilihat melalui kemenangan bergaya dalam Pilihanraya Umum 1955 iaitu memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi dan satu kerusi dimenangi oleh Parti Islam Se-Malaysia. Dengan wujudnya toleransi di kalangan 3 kaum terbesar ini maka proses persefahaman ke arah melahirkan semangat kerjasama telah menampakkan hasil yang diharapkan iaitu kita telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Inilah yang dikatakan sejarah itu penting dalam memupuk perpaduan sosial.
Sejarah juga tidak boleh tidak berperanan dalam pembangunan bangsa dan negara. Kita sudah pasti akan mempertahankan kegemilangan dan pencapaian yang pernah dicapai oleh seseorang atau oleh sesebuah negara. Kita sememangnya akan mengingati tanggal 31 Ogos 1957 dimana British telah bersetuju memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Pejuang-pejuang yang telah berjuang demi memperolehi kemerdekaan dan terkorban di medan perang akan dikenang sampai bila-bila. Pemahaman tentang hubungan budaya yang lalu dengan budaya masyarakat hari ini perlu untuk membuat perbandingan bagi membangunkan dan memajukan masyarakat serta negara pada hari ini dan masa depan. Kita dapat rujuk kepada sejarah Indonesia yang mundur dalam industrialisasinya dapat belajar dari negara industrial dan negara pascaindustrial. Dari Jepun pula, kita dapat belajar bagaimana mempunyai industri besar tanpa mematikan industri kecil. Memang benar bahawa kedua-dua negara iaitu Jepun dan Indonesia mengalami industrialisasi dalam keadaan yang berbeza, tetapi kedua-duanya merupakan bangsa Timur dan sama-sama mempunyai tradisi ketimuran. Melalui kedua-dua peristiwa sejarah tersebut kita mampu mencari formula bagi membangunkan negara dengan menggunakan kaedah yang bersesuaian. Dasar Ekonomi Baru dan Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang dilaksanakan sejak 1971 telah berakhir pada penghujung 1990. Sebagai gantinya Dasar Pembangunan Negara (DPN) telah diperkenalkan dengan 1990. Sebagai gantinya Dasar Pembangunan Negara (DPN) telah diperkenalkan dengan bermatlamatkan pembangunan yang seimbang untuk membentuk masyarakat yang lebih adil lagi bersatu. Dasar ini menekankan pertumbuhan mapan dengan harapan akan membolehkan penduduk Malaysia menyertai kegiatan – kegiatan utama ekonomi, sekaligus mempastikan kestabilan politik dan perpaduan negara. DPN yang merangkumi RRJP 2 telah meneruskan RRJP 1 tetapi dengan rangka yang lebih luas dari segi meyatupadukan masyarakat. Malah ia memberi tumpuan kepada golongan miskin dan mengurangkan kemiskinan relatif, mewujudkan pekerjaan dan membentuk sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB). Pembentukan dasar ekonomi ini yang bertitik-tolak daripada ketidakseimbangan ekonomi yang telah mencetuskan rusuhan antara kaum di Malaysia. Melalui pembentukan dasar ekonomi ini, keamanan dalam masyarakat dapat dikembalikan, ekonomi dapat dipulihkan serta dieksploitasi sama rata dan pembangunan negara dapat dijana. Jadi, contoh peristiwa-peristiwa sejarah tersebut menggambarkan peripentingnya sejarah dalam membangunkan bangsa dan negara.
Melalui pembacaan, pengolahan, penelitian, dan pengkajian mengenai sejarah mencetuskan satu simpulan idea yang membenarkan pernyataan bahawa manusia memang mementingkan sejarah dan tidak berupaya melupakannya. Falsafah sejarah tidak memberi tumpuan sama ada kepada ‘masa lampau itu sendiri’ ataupun kepada ‘tanggapan ahli mengenainya secara tersendiri’, tetapi kepada ‘kedua-dua perkara tersebut dalam perkaitan antara sesama mereka’. Klausa ini membayangkan kedua-dua pengertian ‘sejarah’ masa kini dan siasatan yang dijalankan oleh ahli sejarah dan siri-siri peristiwa masa lampau yang disiasat olehnya. Masa lampau yang dikaji oleh ahli sejarah bukanlah suatu masa lampau yang telah mati, tetapi masa lampau yang dari beberapa segi masih hidup pada masa kini. Pengkajian sejarah oleh ahli-ahli sejarah telah mengeksploitasi kepelbagaian sumber dan kemudiannya dirakamkan sama ada dalam bentuk bercetak, audio mahupun visual. Rakaman elektronik atau bercetak ini akan disebarluaskan ke segenap lapisan masyarakat, malahan mampu digunapakai oleh masyarakat antarabangsa. Melalui pemahaman daripada penyebarluasan maklumat sejarah ini akan sekaligus meningkatkan peripentingnya sejarah itu kepada manusia sejagat.
BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Haji Abdullah (1994). Pengantar ilmu sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arba’iyah Mohd Noor (2002). Ilmu sejarah dan pensejarahan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

A. Samad Ahmad (2000). Sulalatus salatin sejarah Melayu edisi pelajar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Carr, E. H. , (1984). Apakah sejarah? (Ab. Rahman Haji Ismail, Terjemah). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Chamil Wariya (1987). Politik kompromi. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing & Distributors.

Funston, J. , (1980). Malay politics in Malaysia. A study of UMNO & PAS. Kuala Lumpur: Hainemain Educational Books (Asia) Ltd.

Ismail Hussein, A. Aziz Deraman dan Abd. Rahman Al-Ahmadi (Ed.). (1993). Tamadun Melayu jilid satu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kamus Dewan edisi ketiga (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Konsep dan didaktik sejarah terhadap tindak-tanduk individu serta perkembangan negara (2005). Diperoleh pada Sept 5, 2005 daripada http://www.brunet.bn/ news/pelita.

Mohd Radzi Abdul Latif (2004). Biduk lalu kiambang bertaut: Pendekatan mesra rakyat Pak Lah. Diperoleh pada Ogos 29, 2005 daripada http://www.yksm.com.my/buletin/7-sep-04 asp.

Muhd. Yusof Ibrahim (1986). Pengertian sejarah: Beberapa perbahasan mengenai teori dan kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Kementerian Pelajaran Malaysia.


Muhd. Yusof Ibrahim (2000). Ilmu sejarah: Falsafah, pengertian dan kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prof. Dr. Kuntowijoyo (2001). Pengantar ilmu sejarah. Jogjakarta: Yayasan Bentang Budaya.


Raja Ali Haji (1998). Tuhfat al-nafis. Dikaji dan diperkenalkan oleh Virginia Matheson Hooker. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rohani Abdul Ghani dan Zulhilmi Paidi (Ed. ). (2002). Kenegaraan Malaysia: Isu-isu dan perkembangan. Bentong: PTS Publication & Distributors Sdn Bhd.

Ruslan Zainuddin (2003). Sejarah Malaysia edisi kedua. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

R. Suntharalinggam (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Marican & Sons (M) Sdn Bhd.

0 comments: